Bintang Liga Perdana Inggeris (EPL) telah meninggalkan pesanan buat Selangor.
Skuad kendalian Katsuhito Kinoshi giat menambah baik jentera pasukan menerusi kehadiran beberapa muka baharu dari dalam dan luar negara.
The Red Giants baru-baru ini secara rasminya telah mendatangkan khidmat pemain tengah berpengalaman England, Zach Clough bagi musim 2025-26.
Tonggak berusia 30 tahun itu telah mengumumkan perpisahan dengan kelabnya di A-League, Adelaide United untuk ke Lembah Klang.
Perpindahan Clough yang juga pernah berkelana di England hampir sebahagian besar kariernya telah mendapat liputan meluas termasuklah dalam kalangan pemain EPL iaitu bintang Aston Villa FC, Matthew Cash.
Pemain kebangsaan Poland itu memuji langkah Selangor FC yang berjaya mendatangkan pemain berkelas tinggi seperti Clough untuk membawa cabaran pasukan musim hadapan.
Cash melabel tonggak baharu Selangor ini sebagai salah seorang pemain yang berbakat besar yang bakal membantu Selangor atas padang.
“Pemain yang sangat menakjubkan,” komen Cash pada hantaran Selangor FC.
Kedua-dua pemain ini difahamkan pernah bersama dalam satu pasukan ketika di Nottingham Forest sekitar tahun 2018-2019 sebelum Cash ke Villa dan Clough menyertai Wigan.