Chelsea Juara Piala Dunia Kelab 2025, Tumbangkan PSG
MakanBola
Chelsea FC

Chelsea memastikan kejuaraan Piala Dunia Kelab selepas menumpaskan PSG dalam perlawanan akhir.

Pertemuan yang dinantikan ramai ini menyaksikan pasukan gergasi England, Chelsea menentang juara Eropah, PSG di New Jersey bagi mencari pemenang Piala Dunia Kelab 2025.

Kelibat penyerang baharu Chelsea, Joao Pedro ditagih bagi menembusi gawang lawan manakala PSG menurunkan trio utama di jentera serangan iaitu Dembele, Kvaratskhelia dan Doue.

Pada minit ke-22, Cole Palmer meletakkan Chelsea di depan hasil satu gerakan cantik dari sebelah kanan sebelum beliau melepaskan rembatan yang menewaskan Donnaruma di pintu gol PSG.

Pemain utama England ini sekali lagi menjadi duri dalam daging kepada pasukan PSG apabila menjaringkan gol kedua Chelsea selang 8 minit kemudian selepas menerima hantaran cantik dari Colwill.

Chelsea menambah jaringan ke-3 menerusi pemain baharu, Joao Pedro sebelum rehat untuk The Blues selesa di depan sekaligus memberikan tekanan kepada anak-anak buah Luis Enrique.

Keputusan 3-0 kekal memihak Chelsea sehingga minit akhir ketika mana babak kedua tiada sebarang jaringan terhasil.