Pengendali Chengdu Rongcheng, Seo Jung-won memiliki alasan tersendiri mengapa pasukannya tumbang di tangan Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi terbaru ACLE.
Aksi ketiga Liga Timur ACLE menyaksikan JDT meraih kemenangan di China buat kali pertama. Oscar Arribas dan Nacho Mendez memastikan pelawat pulang ceria dengan tiga mata penuh.
Meskipun beraksi di laman sendiri dan mendapat sokongan lebih 39,000 penonton, itu masih tidak cukup membantu Chengdu menyekat kemenangan Harimau Selatan.
Jung-won memohon maaf kepada penyokong kerana gagal merealisasikan kemenangan kedua dalam Liga Timur ACLE.
Pada masa sama, beliau turut mendedahkan masalah kecederaan dan jadual perlawanan yang padat memberi kesan kepada perancangannya.
“Aksi hari ini menyaksikan kita tewas 2-0 kepada JDT, ia satu keputusan yang mengecewakan dan saya mohon maaf kepada penyokong di laman kita.
“Ianya mengecewakan kerana kita tidak dapat bermain dengan semua pemain utama kita dan sudah tentu, kita ada masalah kecederaan dalam pasukan sekarang.
“Tapi kita masih ada banyak perlawanan yang perlu diharungi termasuk aksi liga. Walaupun kita tewas, kita akan kembali dan buat semakan, kenal pasti masalah dan bersiap sedia untuk perlawanan seterusnya,” katanya seperti yang dilaporkan 163.com.
Selain aksi ACLE, Chengdu ketika ini berusaha menghalang Shanghai Port daripada bergelar juara liga buat kali ketiga berturut-turut.
Chengdu kini hanya dipisahkan dua mata dengan Shanghai selepas mengumpul 58 mata. Pasukan itu akan berdepan Qingdao Youth Island pada 26 Oktober.