Aaron Chia dan Soh Wooi Yik menjadi wakil Malaysia kedua mengesahkan kemaraan ke separuh akhir China Masters 2025.
Kejayaan itu dicapai beregu lelaki nombor dua dunia itu dengan menewaskan wakil Indonesia, Leo Rolly Carnando dan Bagas Maulana.
Aaron-Wooi Yik berharap dapat meneruskan rentak kemenangan selepas menyingkirkan beregu ke-14 dunia dari England, Ben Lane dan Sean Vendy.
Leo Rolly-Bagas menjadi penghalang antara mereka dan tiket separuh akhir. Meskipun ini pertemuan pertama buat kedua-dua regu, Aaron-Wooi Yik memiliki kelebihan sebagai beregu kedua terbaik dunia.
Set pertama menyaksikan pada awalnya, kedua-dua beregu bersaing sengit mendapatkan mata. Aaron-Wooi Yik kemudiannya mendahului pada kedudukan 11-8.
Leo Rolly-Bagas cuba mengejar tetapi bekas juara dunia itu meraih kemenangan set pertama dengan keputusan 21-19.
Set kedua menyaksikan beregu Indonesia itu cuba memberi tentangan kepada Aaron-Wooi Yik. Malangnya, kesilapan demi kesilapan yang dilakukan mereka membolehkan beregu negara mendahului pada kedudukan 11-8.
Meskipun diberi tentangan sengit, Aaron-Wooi Yik memastikan set kedua milik mereka dengan kemenangan set kedua 21-18.
Aaron-Wooi Yik bakal berdepan cabaran beregu India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty di peringkat separuh akhir. Aksi ini dilihat peluang buat beregu negara membalas dendam.
Ini kerana Rankireddy-Shetty menghalang kemaraan Aaron-Wooi Yik untuk mara ke separuh akhir BWF World Championships buat kali ketiga.
Aaron-Wooi Yik bukan satu-satunya wakil negara beraksi di peringkat separuh akhir China Masters. Juara dunia beregu campuran, Chen Tang Jie dan Toh Ee Wei turut beraksi di peringkat sama.
Mereka dijadual bertemu pilihan kedua kejohanan dan wakil tuan rumah, Feng Yan Zhe dan Huang Dong Ping.