Beregu nombor tiga dunia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin Rumsani membuka kempen China Masters 2025 dengan langkah kanan apabila menundukkan Muhammad Rian Ardianto dan Yeremy Rambitan,
Kemenangan ke atas regu Indonesia itu membolehkan beregu nombor dua Malaysia itu meneruskan kemaraan ke pusingan kedua.
Selepas tersingkir di pusingan kedua Hong Kong Open baru-baru ini, Sze Fei-Izzuddin perlu segera bangkit untuk mengelak prestasi mereka daripada terus merudum.
Set pertama menyaksikan Rian-Yeremy mendahului pada kedudukan 11-6. Meskipun Sze Fei-Izzuddin cuba mengejar, beregu Indonesia itu mengungguli set pertama dengan keputusan 21-12.
Set kedua menyaksikan juara India Open itu tampil lebih garang. Selepas mendahului 11-6, Sze Fei-Izzuddin meneruskan penguasaan sebelum menang dengan keputusan 21-11.
Set ketiga menyaksikan Rian-Yeremy cuba memberi tentangan kepada wakil negara. Walau bagaimanapun, Sze Fei-Izzuddin kekal unggul sebelum menang dengan keputusan 22-20.
Selepas ini, beregu nombor tiga dunia itu akan menentang sama ada Lee Jhe-hsuei-Yang Po-hsuan dari Chinese Taipei atau wakil Thailand, Kittinupong Kedren-Dechapol Puavaranukroh di pusingan kedua.