China Open: Pearly Tan-M. Thinaah Ke Separuh Akhir, Singkirkan Fukushima-Matsumoto
UltraSukan
MSN Malaysia

Pearly Tan dan M. Thinaah meneruskan rentak cemerlang di China Open 2025 apabila menempah tiket separuh akhir.

Kejayaan itu dicapai dengan menewaskan pilihan kelapan kejohanan dari Jepun, Yuki Fukushima dan Mayu Matsumoto di peringkat suku akhir.

Selepas berjaya melepasi cabaran Rui Hirokami-Sayaka Hobara di pusingan kedua, satu lagi wakil Jepun menjadi penghalang antara mereka dan separuh akhir.

Kelebihan memihak kepada Pearly-Thinaah kerana berjaya menewaskan Fukushima-Matsumoto dalam tiga aksi terakhir mereka. Ini termasuk aksi suku akhir Singapore Open.

Pearly-Thinaah dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan dengan keputusan 25-23, 21-18.

Set pertama menyaksikan juara Thailand Open itu memiliki kelebihan selesa pada kedudukan 17-12. Kelebihan itu terus dipertahankan Pearly-Thinaah sebelum menang dengan keputusan 21-16.

Set kedua menyaksikan Fukushima-Matsumoto yang berstatus beregu wanita kesembilan dunia cuba memberi tentangan kepada wakil negara.

Meskipun begitu, kesilapan demi kesilapan yang dilakukan beregu Jepun itu membolehkan Pearly-Thinaah mendahului pada kedudukan 13-9. Kelebihan itu terus dipertahankan naib juara Japan Open itu sebelum menang dengan keputusan 21-12.

Pearly-Thinaah bakal bersemuka dengan wakil China, Jia Yi Fan dan Zhang Shu Xian di peringkat separuh akhir.

Yi Fan-Shu Xian mara selepas menyingkirkan satu lagi wakil negara, Go Pei Kee dan Teoh Mei Xing. Mereka menang dengan keputusan 21-7, 21-15.