Ketua jurulatih Selangor, Christophe Gamel menganggap satu mata berharga menentang KL City adalah perkara positif bagi kem pasukan beliau.
Selangor terpaksa akur dengan keputusan seri pada aksi Liga Super musim 2025-2026 minggu ke-8 pada Ahad di tangan seteru derbi Lembah Klang, KL City.
The Red Giants tampil dengan aksi memukau di hadapan ribuan penyokong sendiri dilihat gagal menembusi gawang The City Boys selepas ketangkasan dan disiplin ditunjukkan oleh para pemain lawan.
Menurut Christophe Gamel, sasaran beliau adalah untuk memenangi perlawanan sebanyak mana mungkin dan Selangor mempunyai masalah di bahagian penyerang.
“Saya tidak melihatnya dari sudut itu. matlamat saya ialah cuba memenangi setiap perlawanan yang mungkin.”
“Kami membina gerakan dengan baik tetapi di bahagian penyudah seperti anda dapat lihat beberapa pemain seperti Grigor sudah kehabisan tenaga menyebabkan pergerakannya kurang explosif dan membuat keputusan agak lambat.”
Tambah Christophe Gamel, beliau menganggap perkara positif selepas meraih satu mata berharga di laman sendiri.
“Walau bagaimanapun, dari sudut positif, kami berjaya membawa pulang satu mata dan saya gembira melihat reaksi mental pemain selepas kekalahan sebelum ini. Itu sangat penting,” kata Christophe Gamel ketika sidang media selepas perlawanan.
Selangor dijadualkan bertemu Sabah dalam aksi minggu ke-9 Liga Super musim ini di Stadium Likas pada 1 November depan.