Jurulatih Selangor FC, Christophe Gamel melihat disiplin sebagai kunci jika pasukan itu mahu mengekang Bangkok United.
Hal ini dinyatakan beliau apabila ditanya tentang cara menyekat anak buah Totchtawan Sripan itu dalam aksi kelima Kumpulan G ACL2.
Gamel melihat disiplin sebagai kunci memandangkan Bangkok United memiliki kualiti bukan saja dari segi teknikal. Malah, pemain Bangkok United juga memiliki kepantasan ketika membuat larian.
Justeru, Gamel melihat Selangor perlu kekal fokus sepanjang 90 minit jika mahu mencuri mata di bumi Bangkok.
“Kita kena kekalkan disiplin dan jika tidak, kita akan dihukum. Jadi, saya fikir disiplin sebagai kunci (untuk aksi) malam esok (malam ini). Mereka pasukan yang bagus, kita juga lihat kemenangan terakhir mereka (menentang PT Prachuap).
“Mereka memiliki kelajuan, mereka ada struktur dan (kelebihan dari segi teknikal). Mereka juga berdisiplin. Isu besarnya ialah kita kena kekalkan disiplin jika nak dapatkan keputusan di sini.
“Ini kerana mereka memiliki kualiti dari segi teknikal dan juga pantas. Jadi, kualiti sebegini merupakan senjata (hebat) buat pihak lawan,” katanya.
Aksi ini dilihat peluang buat Selangor membalas dendam terhadap tuan rumah. Ini selepas mereka tewas 4-2 kepada Bangkok United dalam aksi pertama kumpulan.
Selangor berharap dapat meneruskan rentak cemerlang selepas mengalahkan Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) dalam liga baru-baru ini.