Bekas jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel sah menggalas peranan sebagai jurulatih Selangor FC II.
Pelantikan jurulatih Perancis berusia 52 tahun itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Selangor, Datuk Seri Shahril Mokhtar.
Pengumuman ini sekaligus menjawab status Gamel bersama Selangor II. Ini selepas kelibat beliau dikesan bersama pasukan itu dalam satu kejohanan di Singapura baru-baru ini.
“Betul, Gamel sudah masuk. Dia memang (bimbing) pasukan kedua Selangor FC,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Fadhirul Shuhaimi.
Ini kali pertama Gamel kembali ke Liga Malaysia (Liga M) sejak melatih Sri Pahang pada 2022. Selepas meninggalkan Tok Gajah, beliau menggalas beberapa peranan kejurulatihan.
Antara peranan yang pernah digalas beliau ialah penolong jurulatih skuad kebangsaan Vietnam dan kelab A-League, Macarthur FC.
Gamel kemudiannya meninggalkan The Bulls pada Jun lalu. Susulan itu, pengurusan kelab A-League itu mengumumkan Bruno Berner sebagai pengganti beliau.