Christophe Gamel Sebut Kriteria Pemain Baharu Selangor
MakanBola
Selangor FC

Jurulatih Selangor, Christophe Gamel memasang impian bagi merekrut pemain-pemain baharu yang menepati kriteria.

Menjelang jendela perpindahan yang akan dibuka pada bulan Januari nanti, beberapa kelab termasuklah Selangor dijangka akan membawa masuk muka-muka baharu bagi memperkuat pasukan.

Perkara ini dilihat relevan selepas pihak pengurusan Selangor baru sahaja mengumumkan keputusan bagi melepaskan dua pemain import iaitu Willian Lira dan Kevin Deeromram serta-merta.

Oleh itu, Christophe Gamel yang juga pengendali sementara pasukan melihat beberapa muka baharu dijangka bakal tiba bagi menggantikan tempat pemain-pemain yang dilepaskan ini.

”Ya, secara jujurnya kami memang sedang mencari beberapa pemain. Anda boleh lihat, ada pemain yang sudah tidak lagi bersama kelab, jadi objektif kami adalah untuk mendapatkan satu atau dua pengganti.”

“Ia penting, namun kami mempunyai bahagian recruitment dalam kelab dan kami banyak berbincang selain berkongsi pandangan bersama,” jelas Christophe Gamel.

Kriteria penting yang disebutkan Christophe Gamel adalah pemain baharu Selangor perlu menepati profil yang sesuai dengan struktur pasukan demi membawa misi melangkah lebih jauh.

“Perkara paling penting dalam organisasi saya adalah kami perlu merekrut profil pemain yang tepat,” tambah Gamel lagi.

“Jika kami mahu melangkah jauh dan mencapai kejayaan, kami perlu sependapat tentang profil pemain yang ingin diambil dalam struktur organisasi ini.”

Selain itu, terdapat 3 posisi yang ingin diperkuat terutamanya melibatkan bahagian serangan dan tengah pasukan Selangor untuk pemain baharu yang bakal dibawa masuk tidak lama lagi.

“Ia akan melibatkan posisi penyerang dan juga bahagian sisi (sayap) serta saya juga mahukan sedikit tambahan di jentera tengah,” impi jurulatih dari Perancis itu selepas aksi PDRM vs Selangor.

Setakat ini, Selangor berada di kedudukan ke-4 Liga Super dengan mengutip 22 mata selepas 11 aksi, berbaki satu lagi perlawanan sebelum menutup separuh perjalanan musim ini.