Christopher Raj Dilantik ke Lembaga Penasihat Global Elit World Football Summit
MakanBola
AFC

World Football Summit (WFS), platform global terkemuka yang menyatukan pemimpin paling berpengaruh dalam bola sepak, hari ini mengumumkan pelantikan Dato’ Christopher Raj ke Lembaga Penasihatnya, yang berkuat kuasa 11 Ogos 2025.

World Football Summit ialah platform antarabangsa utama untuk pemegang taruh komersial, institusi dan sosial dalam bola sepak.

Sejak ditubuhkan pada 2015 di Sepanyol, WFS telah berkembang menjadi siri acara global, menganjurkan puluhan sidang kemuncak di Eropah, Asia, Afrika dan Amerika, melibatkan ribuan eksekutif, kelab, persekutuan, jenama dan pelabur dalam perbincangan mengenai inovasi, kelestarian dan pertumbuhan.

Dato’ Christopher, figura yang dihormati dalam bidang komunikasi dan tadbir urus bola sepak Malaysia, telah membina kerjaya selama lebih dua dekad di peringkat nasional, serantau dan antarabangsa.

Beliau merupakan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif ShekhinahPR, salah satu agensi komunikasi sukan yang merangkul anugerah terkemuka di Asia Tenggara, serta bekas Ahli Jawatankuasa Eksekutif Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Ahli Lembaga Pengarah Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Di peringkat antarabangsa, beliau berkhidmat bersama Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan FIFA di beberapa kejohanan bola sepak paling berprestij, termasuk FIFA U17 World Cup 2023 di Indonesia, FIFA U17 World Cup 2017 India.

Selepas itu, FIFA World Cup Qatar 2022 dan FIFA World Cup Russia 2018, serta beberapa edisi AFC Asian Cup, AFC Champions League dan final AFC Cup.

Beliau menjadi hanya individu kedua dari Malaysia yang dilantik ke Lembaga Penasihat WFS, menyertai Datuk Seri Windsor John, Setiausaha Agung AFC.

Lembaga Penasihat WFS dianggotai oleh tokoh-tokoh kanan elit dari seluruh ekosistem bola sepak, yang bertanggungjawab membentuk agenda strategik dan kandungan Sidang Kemuncak ini.

Antara anggota terkenal termasuk Nicolas Pompigne-Mognard, pengasas dan pengerusi APO Group; Luis Vicente, bekas Ketua Pegawai Transformasi Digital FIFA; Michael Broughton, perunding sukan kanan dan bekas eksekutif FIFA; serta Sol Campbell, bekas pemain antarabangsa England yang kini penasihat kepimpinan bola sepak.

WFS juga pernah menampilkan ikon bola sepak seperti Fabio Capello, bekas pengurus dan pemain ternama; serta Javier Zanetti, Carles Puyol dan Pierluigi Collina dalam barisan di acara seperti Sidang Kemuncak Hong Kong.

Menurut Jan Alessie Pengarah Urusan dan pengasas bersama WFS, mereka amat berbesar hati dengan pelantikan Dato’ Christopher Raj ke Lembaga Penasihat kami kerana beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam media dan komunikasi bola sepak.

“Kami berbesar hati menyambut Dato’ Christopher Raj ke Lembaga Penasihat kami. Pengalaman luas beliau dalam media dan komunikasi bola sepak, daripada peranan bersama FAM, MFL dan AFC hingga penglibatan antarabangsa bersama FIFA, membawa perspektif global yang sebenar.”

“Rangkaian hubungan dan pandangan beliau akan mengukuhkan lagi misi kami untuk membentuk masa depan sukan ini, serta merealisasikan bola sepak yang kita mahu dan bola sepak yang kita perlukan.”

Menurut Dato’ Christopher Raj, beliau amat berbesar hati dengan pelantikan ini. Beliau turut berharap dapat menyumbangkan pengalaman yang beliau miliki dalam bola sepak Malaysia dan Asia.

“Saya amat berbesar hati dengan pelantikan ini. Sejak menyertai WFS pada edisi 2020 di Arab Saudi, saya telah melihat kekuatannya dalam menghimpunkan pemimpin yang membentuk bola sepak dunia.”

“Kini diberi peluang untuk berkhidmat dalam Lembaga Penasihat, bersama individu berkaliber tinggi, adalah satu penghormatan yang besar. Saya berharap dapat menyumbangkan pengalaman saya dalam bola sepak Malaysia dan Asia, serta menyokong visi WFS untuk memajukan bola sepak di seluruh dunia.”