Ketua Pegawai Operasi (COO) Kumpulan Farm Fresh Berhad, Azmi Zainal mendedahkan hasrat membuka sebuah akademi bola sepak pada tahun hadapan.
Hasrat itu dizahirkan beliau menerusi satu hantaran di Facebook. Azmi melihat usaha ini sebahagian daripada usaha merancakkan pembangunan akar umbi di Malaysia.
“Saya nak tubuhkan Akademi Bola Sepak Farm Fresh. Insya Allah, tahun depan akan mula projek ini.
“Akademi ini akan memberi latihan kepada anak-anak yang berumur 5 tahun sehingga 16 tahun,” katanya.
Apabila ditanya tentang matlamat jangka panjang akademi tersebut, Azmi melihat ini peluang buat pemain yang kurang berkemampuan untuk berlatih di bawah bimbingan jurulatih profesional.
“Matlamatnya nak bagi peluang anak-anak yang berminat serta yang kurang berkemampuan untuk berlatih dengan jurulatih profesional. Kita nak mula 10 daerah dulu,” tambahnya.
Azmi turut mendedahkan Akademi Bola Sepak Farm Fresh kini mencari 10 jurulatih baharu untuk melatih pemain-pemain akademi apabila ia beroperasi nanti.
“Kami juga akan melatih bekas pemain-pemain untuk dijadikan jurulatih bagi melatih anak-anak ini,” ujarnya.
“Permulaan ini kami perlukan lebih kurang 10 orang jurulatih. Jurulatih ini akan berkerja dengan Akademi Bola Sepak Farm Fresh.”
Azmi turut memaklumkan antara perancangan yang ingin direalisasikan ialah kolaborasi antara pihak akademi dan sekolah-sekolah.
Ini selepas seorang peminat mencadangkan agar satu kolaborasi diadakan antara Farm Fresh dengan sekolah-sekolah yang memiliki rekod cemerlang dalam bidang sukan.
Individu yang berminat memikul tugas sebagai Pengarah Akademi Bola Sepak Farm Fresh boleh mengadakan pertemuan dengan Azmi. Calon yang berminat juga boleh mengisi maklumat di pautan ini.