Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor mendedahkan Cristiano Ronaldo hanya berminat bermain di Johor.
Perkara ini didedahkan baginda semasa sesi soal jawab bersama penyokong yang diadakan di Vamos Coffee Roastery.
Tunku Ismail memaklumkan ini berdasarkan interaksi baginda dengan legenda Manchester United itu menerusi teks.
Ronaldo menyatakan seandainya kelab beliau, Al-Nassr mengadakan jelajah di Malaysia, beliau hanya berminat bermain di Johor. Legenda Portugal itu merujuk kepada Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
“Saya terima mesej dari Cristiano Ronaldo. Dia cakap kalau Al-Nassr ada jelajah Asia, dia kata kalau main di Malaysia, dia tak nak main di tempat lain. Dia nak main dekat Johor (SSI),” katanya.
Tunku Ismail melihat ini sebagai satu lagi pengiktirafan ke atas kualiti SSI sebagai stadium sukan bertaraf antarabangsa.
“Itu adalah satu pengiktirafan yang tinggi dan positif di mana orang puji stadium awak yang ada. Benda itu benda yang bagus,” ujarnya.
Ini bukan kali pertama SSI mendapat pujian bintang sukan antarabangsa. Sebelum ini, bekas bek tengah Borussia Dortmund, Mats Hummel turut memuji stadium tersebut.
Hummel menjadi sebahagian daripada skuad Der BVB yang mengadakan aksi persahabatan menentang JDT pada 2022 di SSI.