Cristiano Ronaldo Tak Segan Silu Kritik Manchester United
MakanBola
Manchester United

Legenda Portugal, Cristiano Ronaldo masih mengambil berat tentang situasi Manchester United.

Ini terbukti apabila beliau mengeluarkan beberapa kenyataan tentang pasukan yang dibimbing Ruben Amorim itu dalam temu bual bersama Piers Morgan.

Ronaldo menyifatkan rakan senegaranya itu melakukan tugas yang baik di Old Trafford. Pada masa sama, beliau merasakan pasukan itu memerlukan keajaiban untuk terus memberi cabaran dalam liga.

“Beliau melakukan yang terbaik. Apa yang anda hendak lakukan? Keajaiban? Keajaiban itu mustahil.

“Kita ada pepatah di Portugal, keajaiban hanya berlaku di Fatima dan beliau tidak melakukan apa-apa keajaiban,” katanya seperti dilaporkan BBC Sport.

Ronaldo juga gembira dengan beberapa pemain baharu yang menyertai United musim ini. Meskipun begitu, beliau merasakan kelab itu memerlukan perubahan besar untuk kembali cemerlang seperti dulu.

“Manchester United masih di hati saya. Saya sayangkan kelab ini. Tetapi kita kena jujur dan lihat diri kita dan katakan, ‘Dengar, mereka tidak berada di laluan yang baik.’

“Jadi, mereka perlu berubah dan ini bukan hanya tentang jurulatih dan para pemain, pada pandangan saya,” ujarnya.

United ketika ini menduduki tangga kelapan liga dam masih belum tewas dalam lima aksi liga setakat ini. Ini termasuk aksi menentang Tottenham Hotspur di mana mereka mengikat tuan rumah 2-2.