“Dah Lama Tak Rasa  Macam Ni” – Akmal Rizal
MakanBola
Penang FC

Lagenda bola sepak negara, Akmal Rizal memuji kualiti persembahan yang ditampilkan oleh skuad Harimau Malaya.

Pasukan bimbingan Peter Cklamovski beraksi cemerlang tempoh hari apabila menundukkan pasukan ke-112 dunia, Vietnam dengan keputusan 4-0 di Bukit Jalil.

Perlawanan kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 itu menyaksikan lima muka pemain warisan baharu menjadi nadi untuk pasukan kebangsaan mencipta fenomena di Asia Tenggara.

Menurut Akmal, percaturan oleh Cklamovski semuanya membuahkan hasil dan menyukarkan misi anak buah Kim Sang-sik di tempat lawan. 

“Segala perancangan pasukan Vietnam tidak menjadi. Apabila kita (Malaysia) hilang bola, kita menang secepat mungkin, kita melakukan serangan dan mematahkan setiap serangan oleh pasukan Vietnam.

“Itulah yang membuatkan Malaysia mampu untuk menjaringkan empat gol pada separuh masa kedua,” katanya kepada Astro Arena.

Beliau juga memuji semangat juang para pemain pada setiap posisi sambil berharap agar skuad negara terus cemerlang dan menapak tinggi pada peringkat Asia.

“Semua pemain bermula dari Syihan hingga penyerang telah memberikan lebih daripada  100 peratus. Kualiti individu telah membentuk sebuah pasukan yang amat baik,” katanya.

“Kita harap ini menjadi permulaan kepada pasukan negara untuk menjadi antara salah sebuah pasukan terbaik untuk bersaing di Asia,” tambahnya.

Kemas kini terbaharu ranking FIFA memyaksikan Malaysia kini menghuni  tangga 125 dunia, berjaya melonjak naik 6 anak tangga berbanding 131 pada kemas kini terdahulu, 3 April 2025.