Dari Kagawa Kepada Dion Cools Dan Akhirnya Gol
MakanBola
Cerezo Osaka

Kombinasi bekas pemain tengah Manchester United, Shinji Kagawa dan Dion Cools membantu Cerezo Osaka meraih gol keempat dalam aksi terbaru J-League 1 baru-baru ini.

Ini selepas video gerakan serangan dua figura itu dikongsikan JLeague di semua platform rasmi mereka. Video tersebut turut dikongsikan Harimau Abroad.

Meskipun selesa mendahului 3-1 dalam aksi menentang Shimizu S-Pulse, Cerezo yang dibimbing Arthur Papas terus ghairah memburu gol tambahan.

Cools yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-77 segera membuat larian selepas menerima hantaran Kagawa.

Kapten Harimau Malaya itu pantas melarikan bola sebelum disudahkan Kengo Furuyama pada minit akhir perlawanan.

Kombinasi dua pemain gantian itu memastikan Cerezo meraih tiga mata pada akhir perlawanan. Meskipun masuk sebagai pemain gantian, Cools mendapat markah 7.4 oleh Sofascore.

Menariknya, ini juga bantuan gol pertama bekas pemain Buriram United bersama Cerezo musim ini dalam 14 penampilan.

Bantuan gol itu dijangka menyuntik semangat Cools apabila bersama Harimau Malaya. Skuad negara akan menentang Nepal untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027 pada 18 November ini.