Pemain tengah Malaysia, David Rowley berkongsi status kecederaan terbarunya ketika beraksi untuk Chanthaburi FC baru-baru ini.
Rowley membuat penampilan keenam bersama pasukan itu apabila masuk sebagai pemain gantian ketika aksi Thai League 2 menentang Nakhon Pathom United.
Walau bagaimanapun, bekas pemain Sri Pahang FC itu hanya sempat beraksi selama 16 minit sebelum dikeluarkan pada minit ke-94 akibat kecederaan.
Pemain tengah, Kanokpon Buspakom dibawa masuk sebagai pengganti Rowley. Aksi tersebut berakhir dengan kekalahan 3-1 buat Chanthaburi FC.
Akaun Harimau Abroad kemudiannya memuat naik gambar Instagram Story Rowley tentang status kecederaannya selepas perlawanan berkenaan.
“David Rowley mendedahkan status kecederaan yang dialami daripada aksi terakhirnya bersama Chanthaburi,” katanya di X.

Antara kecederaan yang dialami pemain berusia 35 tahun itu ialah patah tiga tulang rusuk, kontusi hati dan sedikit pendarahan dalaman.
Rowley dijangka berehat seketika bagi membantu proses pemulihan kecederaan beliau. Bekas pemain Penang FC itu bukan satu-satunya pemain Malaysia beraksi di Thailand.
Selain Rowley, Annil Vigneswaran dan Sergio Aguero turut mengibarkan panji Malaysia dalam saingan liga Thailand. Annil dan Aguero masing-masing beraksi untuk Nakhon Si United dan Kanchanaburi Power.