‘Debu Hilang Kurang 1 Minit’ Detik Bumbung Stadium Malawati Jatuh
MakanBola
Stadium Shah Alam

Proses menurunkan bumbung Stadium Malawati berjalan lancar sehinggakan debu hilang dalam tempoh kurang seminit.

Ini selepas Stadium Shah Alam memuat naik video proses berkenaan di platform rasmi mereka pada 26 September lalu.

Proses penurunan bumbung Stadium Malawati dibuat bagi memberi laluan kepada projek LRT3 untuk mula beroperasi tidak lama lagi tanpa sebarang gangguan.

“Kaedah perobohan yang digunakan telah melalui penelitian rapi dan diluluskan oleh perunding struktur bertauliah, dengan jaminan terhadap ketepatan teknikal serta keselamatan di tapak kerja.

“Sepanjang proses tersebut, aspek keselamatan diberi keutamaan dengan pemasangan pengadang serpihan, penggunaan pancuran air untuk mengawal habuk, serta kawalan persekitaran yang berkesan.

“Sebanyak lebih kurang 220 tan struktur bumbung berjaya diturunkan dengan keadaan operasi yang minimum dari segi gangguan – tahap bunyi yang rendah, habuk yang hilang dalam tempoh sekitar seminit, dan taburan sisa yang terkawal,” katanya.

Mengikut laporan media, kerja-kerja awal pembinaan kompleks baharu Stadium Shah Alam bermula antara Oktober hingga November ini.

Antara kerja awal projek berkenaan ialah menanda sempadan pembinaan untuk Fasa 1 projek. Ketinggian tapak stadium juga akan dinaikkan antara tiga hingga empat meter daripada sebelumnya.

Selain fasa pembinaan stadium, fasa pembinaan Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) sepenuhnya pula dijangka siap menjelang tahun 2030.

Stadium baru yang bakal dibina menggantikan Stadium Shah Alam itu bakal memiliki kapasiti antara 40,000 hingga 50,000 tempat duduk.

Selain itu, stadium ini juga bakal memiliki teknologi padang mudah alih. Teknologi ini membolehkan pelbagai aktiviti boleh diadakan di stadium tersebut.

Fasa kedua pula membabitkan pembinaan teater tertutup, sayap sukan dan belia serta kawasan rekreasi. Fasa terakhir pula memberi fokus kepada pembinaan hotel dan terminal bas bersepadu.

KSSA juga bakal dihubungkan dengan sistem keretapi aliran ringan (LRT). Ini kerana stesen LRT bagi Laluan Shah Alam (LRT3) telah dibina berhampiran kawasan Stadium Shah Alam dan bakal beroperasi pada akhir tahun 2025.