Penyerang Vietnam, Nguyen Xuan Son mencipta kenangan manis apabila membuat penampilan pertama dalam saingan Shopee Cup.
Ini kerana beliau membantu pasukannya, Thep Xanh Nam Dinh FC (Nam Dinh) meraih kemenangan 3-0 ke atas Shan United di Stadium Thuwunna pada 4 Disember lalu.
Lebih menarik, Xuan Son turut mencipta hatrik dalam perlawanan sama. Selepas menyempurnakan penalti pada babak pertama, beliau menyumbat dua gol pada babak kedua.
Sumbangan besar penyerang berusia 27 tahun itu turut menyebabkan Xuan Son dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.
Bekas penyerang Naestved itu mengakui gembira dapat kembali beraksi bersama Nam Dinh di atas padang. Xuan Son juga teruja kerana dapat mencipta hatrik dalam aksi tersebut.
“Hello, semua. Xuan Son gembira dapat kembali bersama pasukan,” katanya dalam satu video kelab berkenaan.
“Ianya lebih mengagumkan bila saya menjaringkan gol dan pasukan menang. Tak sabar untuk perlawanan seterusnya. Ayuh, Thep Xanh Nam Dinh FC.”
Keputusan ini menyaksikan Nam Dinh hanya dipisahkan satu mata dengan pendahulu Kumpulan B, Johor Darul Ta’zim (JDT). JDT kekal di hadapan meskipun diikat 2-2 dengan Svay Rieng.
Xuan Son dilihat semakin menemui rentak jaringan selepas kembali pulih daripada kecederaan serius yang dialami pada awal tahun 2025.
Sebelum ini, beliau turut meledakkan gol untuk Vietnam semasa aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Laos pada November lalu.