Derbi Borneo Hangatkan Aksi Pusingan Awal Piala FA
MakanBola
KUCHING CITY & DPMM FC

Derbi Borneo di antara Brunei DPMM dan Kuching bakal menghangatkan aksi Pusingan Awal Piala FA bagi musim ini.

16 pasukan sudah boleh mencatur strategi bagi misi merebut slot ke suku akhir selepas berakhir Majlis Undian Piala FA 2025-2026 pada Isnin.

Bunga Raya,Malaysian University, dan UM-Damansara merupakan kelab dari Liga A1 Semi-Pro yang bakal beraksi di dalam Piala FA selain 13 kelab daripada Liga Super musim 2025-2026.

Buat julung kali, perlawanan pusingan 16 musim 2025-2026 akan dimainkan secara timbal balik diikuti suku akhir dan separuh akhir.

Pasukan “seeded” bakal bermain di tempat pelawat bagi aksi pusingan 16 ini. Pasukan tersebut ialah Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor, Terengganu, Kuching City, Sabah, Kuala Lumpur, PDRM dan Penang.

Sementara itu, 8 pasukan lain selain 3 kelab dari Liga A1 Semi-Pro adalah 3 kelab baharu iaitu Imigresen, Melaka dan DPMM serta 2 pasukan tercorot Liga Super 2024-2025 iaitu Negeri Sembilan dan Kelantan The Real Warriors akan bermula sebagai pasukan tuan rumah di aksi pusingan 16 ini.

Juara bertahan Piala FA pada musim lepas JDT akan berdepan UM-Damansara selain dua lagi kelab dari Liga A1 Semi-Pro iaitu Bunga Raya akan menentang Sabah manakala Malaysian University akan bertemu naib juara Piala FA musim lalu, Selangor.

Perlawanan pusingan 16 Piala FA 2024-2025 akan bermula pada 16 Ogos 2025 dengan aksi final akan berlangsung pada Disember 2025.