Kelicikan Ramadhan Saifullah Usman bersama Kuching City FC diiktiraf Malaysian Football League (MFL).
Ini kerana sepakan percuma beliau dipilih penyokong sebagai bantuan gol terbaik untuk aksi Liga Super minggu kesembilan. Ramadhan menerima undian 61%.
Sepakan percuma bekas pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT) itu bukan saja memerangkap sembilan pemain PDRM FC di Stadium Selayang.
Malah, sepakan percuma deras yang diambil Ramadhan pantas disudahkan Yuki Tanigawa melepasi Nor Hakeem Hamidun pada minit ke-13.
Penyerang berbisa The Cats, Ronald Ngah Wanja mencipta hatrik dalam aksi sama. Ramadhan melengkapkan malam gemilang Kuching City dengan gol pada separuh masa kedua.
Kemenangan 5-0 itu bukan saja membantu The Cats menghambat KL City FC di tempat ketiga liga dengan 17 mata. Ini turut menjadikan Ngah penjaring terbanyak pasukan itu dalam liga.
Beliau berkongsi tempat ketiga dengan pemain sayap JDT, Arif Aiman Hanapi dengan tujuh gol setakat ini.