Diego Landis Terima Tawaran Terengganu Tanpa Ragu
MakanBola
Terengganu FC

Orang besi baharu Terengganu FC dari Brazil, Diego Landis mengakui menerima tawaran kelab itu tanpa sebarang keraguan.

Hal ini dinyatakan beliau selepas diperkenalkan pemain import terbaru Peteh baru-baru ini. Landis, 27, menyifatkan Peteh sebuah kelab yang hebat.

Justeru, beliau merasakan ini peluang untuk beraksi bersama antara kelab terbaik dalam Liga Malaysia (Liga M).

“Apabila saya menerima tawaran ini, saya tak fikir banyak. Seperti yang saya katakan, saya tak fikir dua kali.

“Saya menerimanya kerana saya tahu Terengganu satu kelab yang hebat. Setiap musim Terengganu melalui musim yang hebat.

“Mereka mempunyai ramai penyokong. Ini amat penting untuk kelab dan negeri ini. Dan ini mendorong keputusan saya untuk datang ke sini,” katanya.

Kehadiran Landis melengkapkan enam tonggak import Terengganu yang dinyatakan jurulatih, Badrul Afzan Razali.

Beliau menyertai dua lagi rakan senegara iaitu Careca dan Gabriel Silva. Selain trio tersebut, Terengganu turut memiliki khidmat Nurillo Tukhtasinov, Yann Mabella dan Junior Sam.