Dion Cools Catat Debut Kesebelasan Utama Cemerlang Di J League
MakanBola
Cerezo Osaka

Orang besi Harimau Malaya, Dion Cools menunjukkan prestasi bagus apabila diturunkan dalam kesebelasan utama Cerezo Osaka baru-baru ini.

Cools menjadi pemain Malaysia pertama membuat kemunculan kesebelasan utama dalam saingan J1 League.

Ini selepas Arthur Papas memilihnya beraksi sebagai bek kanan dalam aksi menentang Shonan Bellmare pada 19 Julai lalu.

Aksi tersebut menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 3-3. Penalti minit ke-89 Luiz Phellype menafikan hasrat Cerezo mencuri tiga mata penuh.

Semakan penilaian pemain di Google selepas perlawanan mendapati Cools dan bekas pemain tengah Manchester United, Shinji Kagawa berkongsi status pemain kedua terbaik perlawanan.

Ini kerana kedua-duanya mendapat markah 4.5. Rafael Ratao dipilih pemain terbaik dengan markah 4.7.

Selain itu, Cools juga merekodkan kelajuan tertinggi 34 kilometer sejam (km/j) ketika perlawanan. Bekas wartawan Astro Arena, Lee Seng Foo menyifatkan kelajuan tersebut mirip dengan apa yang direkodkan legenda Portugal, Cristiano Ronaldo.

“Sebagai perbandingan, 34 km/j juga merupakan kelajuan larian terpantas dalam Piala Dunia 2018 yang direkodkan oleh Cristiano Ronaldo dan Ante Rebic,” katanya di X.

Cools berharap dapat membantu Cerezo merekodkan kemenangan pertama dalam liga sejak 21 Jun lalu. Selepas ini, Cerezo akan menentang FC Tokyo untuk aksi pusingan keempat Emperor’s Cup pada 6 Ogos.

Ini disusuli aksi liga antara kelab itu dan Albirex Niigata pada 11 Ogos ini.