Isu membabitkan kes pemain warisan Harimau Malaya terus hangat diperkatakan selepas dokumen yang dikatakan milik nenek Imanol Machuca disebarkan oleh salah sebuah portal di Argentina.
Menerusi satu hantaran di laman X, portal Capital de Noticias memaklumkan bahawa pihaknya berjaya untuk mendapatkan akses secara eksklusif dokumen yang dikatakan milik nenek kepada Imanol Machuca.
Di dalam dokumen tersebut menyatakan bahawa asal-usul nenek Imanol Machuca yang bernama Concepción Agueda Alaniz bukannya berasal dari Malaysia, tetapi dari Argentina dan berkahwin dengan warga tempatan di sana.
Sijil kelahiran yang dimuat naik oleh portal itu mengatakan bahawa Concepcion Aguenda dilahirkan di bandar Roldan dan bukannya di Penang seperti yang tertulis di dokumen yang dihantar oleh Malaysia kepada FIFA.
Malah, portal tersebut turut menularkan sijil pernikahan milik Concepcion Aguenda dan datuk Imanol Machuca, Jorge Luis Saracho yang juga warganegara Argentina di bandar Roldan, lalu dikatakan mustahil untuk pemain ini memiliki hubungan dengan Malaysia.
Setakat ini, belum ada sebarang pengesahan rasmi adakah dakwaan dokumen sijil lahir serta daftar perkahwinan yang disebarkan ini benar-benar milik nenek Imanol Machuca atau pun bukan.
Portal yang sama juga sebelum ini telah memuat naik sebuah dokumen yang didakwa kepunyaan datuk kepada pertahanan Harimau Malaya, Facundo Garces yang diperoleh di Arkib Negara Argentina.