Dua badan menyatakan kesediaan membantu jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia.
Sebelum ini, satu hantaran media sosial Zii Jia mengandungi beberapa lukisan aneh membuatkan ramai peminat badminton tertanya-tanya.
Ini menyebabkan ramai peminat dan penggiat badminton Malaysia memberi semangat kepada beliau di media sosial. Antara yang berbuat demikian ialah Goh Jin Wei dan Lai Pei Jing.
Ini disusuli pula dengan berita Zii Jia menarik diri daripada saingan Japan Open 2025 yang akan bermula pada 15 Julai ini.
Hal ini mendorong Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyatakan kesediaan untuk membantu pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik itu.
Setiausaha Agung BAM, Datuk Kenny Goh memaklumkan badan induk itu bersedia membantu Zii Jia sekiranya beliau memerlukan bantuan.
“Kalau di mana-mana dia memerlukan sokongan dan bantuan, kita akan sentiasa membantu sekiranya kita ada kepakaran di sini,” katanya seperti dilaporkan wartawan Astro Arena, Faizal Bazari.
Perkara sama turut dinyatakan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim. Beliau memaklumkan KBS bersedia membantu Zii Jia.
Pada masa sama, KBS juga bersedia memberi ruang kepada bekas juara Thailand Open 2024 itu sehingga beliau bersedia untuk berkongsi.
“Jika dia berada dalam situasi yang memerlukan bantuan dan perlukan sokongan kami sangat bersedia untuk membantu cuma kami tidak akan menganggu untuk memberikan ruang hingga di bersedia untuk berkongsi.
“Kami telah menghubungi orang sekitarnya, cuma kenyataan sebelum dikhabarkan dalam keadaan baik cuma kami sedang mengikuti rapat perkembangan dia,” katanya seperti dilaporkan Stadium Astro.
Zii Jia ketika ini masih menjalani proses pemulihan kecederaan yang dialami dalam saingan All England Open.