Kem badminton England menerima sentuhan dua bekas pemain Malaysia bagi membantu mereka mengharungi kejohanan antarabangsa termasuk BWF World Championships.
Dua pemain yang dimaksudkan ialah Cheah Soon Kit dan Tan Kian Meng. Mereka menyertai kem England sebagai jurulatih jemputan selama sebulan.
Perlantikan Soon Kit diumumkan Badminton England (BE) dalam satu kenyataan di platform rasmi mereka.
“Kami gembira untuk mengalu-alukan seorang lagi bekas bintang badminton berpengalaman di gelanggang Pusat Badminton Nasional. Cheah Soon Kit menyertai barisan kejurulatihan Badminton England sebagai jurulatih jemputan.
“Bekas wira beregu lelaki Malaysia itu dijangka menambah pengalaman barisan kejurulatihan kita menjelang BWF World Championships pada Ogos ini,” kata BE dalam satu kenyataan.
Kelibat Kian Meng pula dilihat di tepi gelanggang untuk aksi membabitkan beregu campuran, Callum Hemming dan Estelle van Leeuwen.
Perkara ini turut disahkan koresponden Shuttlehard, Craig Ansibin menerusi satu perkongsian di X. Kian Meng bertindak sebagai jurulatih buat beregu campuran England itu.
“Ya, Tan Kian Meng merupakan jurulatih jemputan untuk England,” katanya.
Kepakaran mereka bakal ditagih untuk membantu kem badminton England mengharungi BWF World Championships.
England pernah bergelar juara dunia dalam acara beregu wanita edisi 1984 dan beregu campuran untuk edisi 2006.