Johor Darul Ta’zim (JDT) serta Cardiff City terpaksa akur selepas terikat seri dalam aksi persahabatan di Sepanyol pada Rabu.
Aksi pra-musim ke-3 JDT di Sepanyol menyaksikan pasukan Harimau Selatan ini turun berdepan kelab dari Wales, Cardiff City selepas meraih dua kemenangan dalam dua perlawanan lalu.
Kesebelasan terbaik ditampilkan oleh JDT dengan Natxo Insa memakai lilitan kapten pasukan tanah air itu manakala Cardiff City menurunkan bekas pemain Arsenal, Calum Chambers di benteng pertahanan.
Aksi berlangsung sengit dengan penyerang Harimau Malaya, Joao Figueiredo miliki peluang terbaik untuk menyumbat gol namun dihalang oleh penjaga gawang Cardiff, Ethan Horvath menggunakan kaki.
Manakala The Bluebirds juga hampir membuka tirai jaringan menerusi percubaan Ollie Tanner sebelum rembatan beliau sedikit tersasar dari pintu gol JDT yang dikawal oleh Andoni Zubiaurre.
Malang buat JDT apabila terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain selepas Moussa Sidibe dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan ketika babak pertama aksi hampir tiba ke penghujung.
Separuh masa pertama tamat, Cardiff City 0-0 JDT.
3 minit bersambung aksi di babak kedua, Cardiff City berjaya menjaringkan gol pembukaan menerusi rembatan dari dalam kotak penalti oleh David Turnbull yang mengelirukan Andoni Zubiaurre.
Gol Cardiff City itu tidak mematahkan semangat JDT, namun sebaliknya skuad Harimau Selatan itu yang berhasil meledak jaringan penyamaan berpunca dari sentuhan cantik Jairo Da Silva.
Gawang JDT bocor untuk kali kedua selang 4 minit kemudian apabila tendangan percuma Robin Colwill menerjah ke dalam jaring gol sekaligus meletakkan kelab League One itu kembali di hadapan.
Pada minit ke-83, giliran tonggak gantian Cardiff City, Yousef Salech pula dilayangkan kad merah oleh pengadil perlawanan selepas menerjah pemain JDT dari belakang secara kasar di kawasan tengah padang.
Oscar Arribas muncul wira JDT dengan jaringan penyamaan di penghujung aksi selepas mengambil kesempatan di atas kesilapan pertahanan dan penjaga gol lawan untuk menolak bola ke gawang dengan mudah.
Aksi di Pinatar Arena berakhir dengan keputusan terikat seri 2-2 antara JDT dan Cardiff City.