Selepas enam perlawanan Liga Super 2025-2026, Melaka FC terus buntu memburu kemenangan pertama, sekaligus menimbulkan persoalan besar mengenai prestasi sebenar pasukan itu. Bagi penganalisis bola sepak, Rezal Zambery Yahya, terdapat dua masalah utama yang kini menghantui Melaka dan menjadi punca mereka gagal menampilkan prestasi konsisten setakat ini.
Menurut Rezal, dua masalah utama yang mengekang kebangkitan Melaka ialah ketumpulan di bahagian serangan serta krisis kecederaan yang menimpa barisan pemain import. Kedua-dua faktor ini dilihat menjejaskan momentum skuad kendalian jurulatih berpengalaman, Datuk K. Devan, yang masih mencari rentak sebenar selepas lima perlawanan pertama musim ini.
Jelasnya lagi, Melaka masih gagal menghasilkan jaringan menerusi permainan terbuka, satu petanda jelas bahawa jentera serangan belum benar-benar berfungsi. Daripada tiga gol yang berjaya dijaringkan setakat ini, dua hadir menerusi situasi sepakan sudut dan satu lagi melalui penalti, menunjukkan masalah ketara dalam aspek penyudah yang perlu segera ditangani.
“Saya ada komunikasi dengan K. Devan membincangkan apa masalah yang melanda pasukan Melaka sehingga hanya tiga jaringan yang dapat dijaringkan. Masalah utama ialah masalah kecederaan termasuk Juan Douglas.
“Pemain-pemain backup untuk pasukan Melaka dibarisi pemain-pemain muda. Shahrel Fikri ada pengalaman yang luas dalam saingan liga kita tetapi belum cukup mebantu pasukan. Sebenarnya Melaka masih belum menjaringkan gol dalam permainan terbuka. Mereka menjaringkan gol dua melalui sepakan penjuru dan satu jaringan hasil sepakan penalti.
“Sudah pasti risau (lihat ketumpulan penyudah). Kalau kita lihat cara pasukan Melaka bermain, mereka sentiasa mencipta peluang menjaringkan gol namun mungkin sentuhan terakhir masih belum dijumpai,” jelas Rezal kepada Astro Arena.
Dengan kembalinya pemain import utama dijangka bakal menjadi suntikan penting buat Melaka dalam usaha memperkukuh bahagian serangan. Kehadiran semula tonggak import seperti Juan Douglas yang sebelum ini terpaksa direhatkan akibat kecederaan bukan sahaja mampu menambah pilihan kepada jurulatih, malah diharap dapat mengembalikan keseimbangan pasukan dalam setiap perlawanan.
Selepas enam perlawanan, Melaka kini sekadar mengutip tiga mata hasil daripada tiga keputusan seri, sekali gus menempatkan mereka di tangga ke-12 carta Liga Super.