Brunei DPMM FC mengambil tindakan segera susulan prestasi kurang memberangsangkan dalam pusingan pertama Liga Super.
Ini selepas dua penyerang import bakal menyertai kelab itu bagi menghadapi pusingan kedua liga. Dua penyerang tersebut ialah Matias Sen dan Juan Camilo Zapata.
DPMM turut mendedahkan kelab itu juga dalam proses mendapatkan beberapa pemain tengah dan pertahanan baharu.
“Matias Sen dan Camilo Zapata bakal menjadi rekrut baharu DPMM FC untuk pusingan kedua Liga Super.
“DPMM FC juga akan menguji beberapa pemain pertahanan dan tengah ketika tempoh kalendar antarabangsa pada November,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sen dan Zapata masing-masing mewakili Comerciantes Unidos dan Universidad Central de Venezuela ketika ini. Kedua-dua penyerang itu bakal menyertai DPMM selepas kontrak mereka bersama kelab masing-masing tamat.
Selain itu, DPMM juga bercadang menambah beberapa pemain Malaysia dalam skuad mereka. Salah satu nama dalam radar pengurusan pasukan itu ialah bekas pemain sayap KL City FC, J. Partiban.
DPMM bergelut dengan prestasi tidak menentu sejak kembali menyertai Liga Super untuk musim 2025/26. Mereka hanya meraih satu kemenangan, dua keputusan seri dan lima kekalahan dalam liga.
Ini termasuk kekalahan besar 10-0 di tangan juara bertahan, Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 25 Oktober lalu.