Dua Pemain Warisan Bakal Perkuat India?
MakanBola
Indian Football

India dilaporkan membuat kejutan dengan memanggil dua pemain warisan untuk aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Bangladesh.

Portal India Today melaporkan dua pemain yang akan menyertai skuad yang dibimbing Khalid Jamil itu ialah Ryan Williams dan Abneet Bharti.

Ini dilihat sebahagian daripada usaha Presiden Persekutuan Bola Sepak Seluruh India (AIFF), Kalyan Chaubey memperkasakan pasukan itu selepas terlepas slot kelayakan Piala Asia 2027.

Williams dijangka tidak berdepan masalah sekiranya proses dokumentasi berjalan lancar. Ini termasuk sijil tiada bantahan daripada Persekutuan Bola Sepak Australia (FA) untuk bekas pemain Portsmouth itu.

Ini kerana Williams pernah membuat satu penampilan bersama Australia pada 2019. Kembar beliau, Aryn juga menunjukkan minat mewakili India semasa beraksi di negara itu.

Walau bagaimanapun, situasi Covid-19 pada 2020 menghalang bekas pemain Persebaya Surabaya itu daripada merealisasikan impiannya.

Peluang Bharti menyertai skuad The Blue Tigers bergantung kepada persembahannya dalam kem. Beliau memiliki dua pasport iaitu India dan Nepal.

Bharti sudah merasai pengalaman beraksi di pelbagai negara. Ini termasuk beraksi sebagai pemain akademi kelab Singapura, Geylang International ketika berusia 14 tahun.

Barisan pemain India dijangka menyertai kem yang bermula pada hari ini. Sekiranya Williams dan Bharti berjaya menyertai skuad akhir, ini dilihat anjakan paradigma buat bola sepak India.

Ini kerana negara Asia Selatan itu mengikut jejak negara-negara lain yang menggunakan pemain warisan untuk memperkuat cabaran skuad kebangsaan masing-masing.

Negara jiran, Bangladesh turut mengambil langkah sama dengan memanggil pemain tengah Leicester City, Hamza Choudhury.