Skuad Malaysia Bawah 23 Tahun (B-23) menerima suntikan semangat menjelang aksi terakhir Kumpulan A Piala Mandiri ASEAN B-23 menentang Indonesia.
Sebelum ini, Malaysia B-23 terpaksa menghadapi Brunei tanpa kelibat dua pemain iaitu Aliff Izwan Yuslan dan Faris Danish Mohd Asrul.
Ini selepas kedua-dua pemain itu mengalami kecederaan dalam aksi pertama kumpulan menentang Filipina.
Kini, pengendali skuad negara, Nafuzi Zain memaklumkan Aliff Izwan dan Faris Danish telah cergas sepenuhnya dan sedia untuk diturunkan.
“Dari segi status (kecederaan), Aliff Izwan sudah kembali berlatih bersama pasukan. Insya Allah dapat bermain menentang Indonesia esok.
“Keadaan Farish juga bertambah baik dan mungkin juga boleh bermain menentang Indonesia nanti,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Malaysia B-23 memerlukan kemenangan jika ingin mara ke separuh akhir Piala Mandiri ASEAN B-23. Mereka akan menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno pada 21 Julai.