Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menubuhkan satu pasukan petugas khas untuk menyiasat isu FAM dan FIFA.
Penubuhan pasukan petugas khas itu diumumkan suruhanjaya tersebut menerusi satu kenyataan di platform rasmi mereka.
Pasukan petugas khas itu ditubuhkan bagi menyiasat isu berkaitan dakwaan kegagalan pengesahan dokumen pengenalan dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) proses kewarganegaraan tujuh pemain negara.
“Pasukan Petugas Khas ini akan diketuai oleh Datuk Dr. Prasad Sandosham Abraham (Timbalan Pengerusi EAIC) bersama ahli-ahli Suruhanjaya iaitu Datuk Siti Zainab Omar, Datuk Seri Dr. Yusof Ismail dan Datuk Ong Lam Kiat serta pegawai-pegawai kanan daripada Bahagian Operasi EAIC,” kata EAIC dalam satu kenyataan.
“Berdasarkan keputusan Mesyuarat Suruhanjaya Bil. 11/2025 yang diadakan pada hari ini, mesyuarat telah memutuskan agar EAIC menjalankan siasatan menyeluruh terhadap aspek integriti, tadbir urus dan pematuhan prosedur yang berkaitan dalam pengurusan serta pengesahan dokumen pemain-pemain berkenaan.”
EAIC turut memohon kerjasama semua pihak berkaitan agar memberi kerjasama kepada siasatan pasukan petugas khas tersebut.