Aksi pertama Liga Perdana Inggeris (EPL) antara Liverpool dan Bournemouth dicemari dengan insiden ejekan biadap terhadap pemain Bournemouth.
Akhbar Daily Mail melaporkan pemain sayap Bournemouth, Antoine Semenyo menjadi mangsa ejekan perkauman seorang penyokong The Reds pada babak pertama.
Susulan itu, Semenyo melaporkan insiden tersebut kepada pengadil perlawanan, Anthony Taylor. Taylor segera menghentikan perlawanan pada minit ke-28.
Beliau kemudiannya mengadakan perbincangan dengan barisan pegawai perlawanan, pengurus Liverpool, Arne Slot dan pengurus The Cherries, Andoni Iraola.
Perlawanan kemudiannya disambung semula pada minit ke-31. Seorang penyokong Liverpool yang berkerusi roda disyaki sebagai individu bertanggungjawab menghina Semenyo.
Individu tersebut kemudiannya dikeluarkan dari kawasan tempat duduk penyokong oleh pihak berkuasa.
Semasa rehat separuh masa, mesej anti-perkauman kemudiannya dimainkan sekitar Anfield sebagai ingatan buat penyokong kedua-dua pasukan.
Insiden ini bukan saja mencetuskan kemarahan peminat bola sepak di media sosial. Malah, ia turut mencetuskan kemarahan legenda Liverpool, Jamie Carragher.
Carragher menyifatkan insiden ejekan biadap tersebut sebagai satu perkara yang mengejutkan.
“Jumlah kempen yang kita buat untuk tendang elemen perkauman di serata dunia, ianya sesuatu yang mengejutkan untuk melihat insiden tersebut.
“Satu insiden yang mengejutkan dan memang berhak dilaporkan kepada pengadil,” katanya.
Liverpool meraih kemenangan 4-2 ke atas Bournemouth dalam aksi pertama liga untuk musim 2025/26.
Hugo Ekitike, Cody Gakpo, Federico Chiesa dan Mohamed Salah menyumbat gol buat tuan rumah. Semenyo pula menjadi pemain terbaik The Cherries dengan meledakkan dua gol.