Pengendali Chelsea, Enzo Maresca mengakui beliau lebih suka ketinggalan gol awal daripada kehilangan pemain akibat kad merah.
Pengurus Itali itu berkata demikian apabila diminta mengulas insiden kad merah membabitkan penjaga gol The Blues, Robert Sanchez ketika menentang Manchester United.
Chelsea bernasib malang apabila Sanchez dibuang padang seawal minit kelima oleh pengadil perlawanan, Peter Bankes.
Ini selepas Bankes mengesan tindakan bekas penjaga gol Brighton itu menerjah Bryan Mbeumo ketika beliau semakin menghampiri gawang Chelsea.
United kemudiannya mendahului menerusi gol Bruno Fernandes dan Casemiro. Casemiro kemudiannya bernasib malang apabila mengutip kad kuning kedua.
Gol saguhati Trevoh Chalobah tidak cukup untuk menghalang keraian The Red Devils pada akhir perlawanan.
Apabila ditanya tentang insiden tersebut, Maresca percaya Sanchez sedar apa yang dilakukannya. Ini memberi kesukaran kepada pasukan itu menghadapi baki perlawanan di Old Trafford.
“Lebih baik (Sanchez) biarkan saja Mbeumo jaringkan gol daripada menerima kad merah,” katanya seperti yang dilaporkan wartawan sukan terkenal, Fabrizio Romano.
“Kita masih ada 95 minit permainan, Robert Sanchez sedar tentang perkara itu. Ianya sukar tetapi jika anda tanya saya, saya lebih suka ketinggalan selepas lima minit daripada hilang seorang pemain.”
Selain tewas, Chelsea juga gusar dengan status kecergasan Cole Palmer. Palmer terpaksa dikeluarkan selepas 20 minit selepas memaklumkan tidak merasa selesa di bahagian groin.
Ini dijangka memeningkan Maresca menjelang dua aksi berikutnya. Chelsea akan menentang Lincoln City dalam saingan Piala EFL pada 24 September dan Brighton pada 27 September.