Arsenal meraih kemenangan ketiga musim ini dengan menewaskan Nottingham Forest dalam aksi terbaru Liga Perdana Inggeris (EPL).
The Gunners berharap dapat bangkit selepas tewas 1-0 di tangan Liverpool. Forest pula memburu kemenangan pertama buat jurulatih baharu mereka, Ange Postecoglou.
Pengurus Arsenal, Mikel Arteta membuat kejutan dengan meletakkan Declan Rice di bangku simpanan. Penyerang New Zealand, Chris Wood mengetuai jentera serangan pelawat.
Separuh masa pertama menyaksikan The Gunners berusaha mencari jaringan awal di Stadium Emirates.
Tuan rumah hampir mendahului seawal minit ketujuh menerusi Mikel Merino. Malangnya, percubaan pemain Sepanyol itu dinafikan penjaga gol Forest, Mats Selz.
Lapan minit kemudian, Arteta terpaksa membuat pertukaran awal dengan memasukkan Ethan Nwaneri sebagai pengganti Martin Odegaard. Ini selepas Odegaard mengalami kecederaan bahu.
Penyokong Arsenal ceria apabila Martin Zubimendi membuka tirai jaringan pada minit ke-32. Bekas jeneral tengah Real Sociedad itu melepaskan rembatan voli yang menewaskan Sels.
Lima minit selepas itu, giliran Forest pula membuat pertukaran awal. Postecoglou memasukkan Nicolo Savona menggantikan Murilo yang mengalami masalah kecederaan.
Forest berusaha mencari gol penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.
Bersambung pada babak kedua, Arsenal semakin ghairah memburu jaringan di Stadium Emirates.
Tidak sampai seminit babak kedua bermula, Viktor Gyokeres terus menggandakan kelebihan tuan rumah.
Bekas penyerang Sporting Lisbon itu mudah menolak hantaran seorang lagi bintang baharu Arsenal, Eberichi Eze. Ini gol ketiga Gyokeres sejak menyertai kelab itu pada musim panas lalu.
Menyedari pasukannya semakin ketinggalan, Postecoglou membuat dua pertukaran. Beliau memasukkan dua pemain baharu Forest, Arnaud Kalimuendo dan Dilane Bakwa menggantikan Wood dan Calum Hudson-Odoi.
Malangnya, Forest terus bergelut mengekang serangan bertali arus Arsenal. Zubimendi menyumbat gol ketiga buat tuan rumah pada minit ke-79.
Pemain tengah Sepanyol itu menanduk hantaran pemain gantian, Leandro Trossard sekaligus menewaskan Sels buat kali kedua.
Forest berusaha mencari gol saguhati tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Arsenal kembali memintas Liverpool di puncak liga.
Sofascore memilih Zubimendi sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.0. Beliau jauh meninggalkan Eze dan Madueke yang masing-masing mendapat 8.1 dan 8.0.
Selepas ini, Arsenal akan menentang Athletic Bilbao untuk saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada 17 September. Forest pula akan menentang Swansea City sehari selepas itu untuk aksi pusingan ketiga Piala EFL.