EPL: Chelsea Bergaya Tewaskan Wolves
MakanBola
Wolves

Chelsea dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan bergaya 3-0 ke atas Wolverhampton Wanderers di Stamford Bridge.

The Blues mahu bangkit selepas sekadar merekodkan keputusan 2-2 dengan Qarabag dalam aksi Liga Juara-Juara UEFA (UCL) baru-baru ini.

Liam Delap kembali mengetuai jentera serangan Chelsea selepas menjalani penggantungan. Wolves pula memilih Jorgen Strand Larsen dan Hwang Hee-chan sebagai sandaran gol mereka.

Separuh masa pertama menyaksikan Chelsea berusaha mencari gol awal menerusi Delap, Pedro Neto, Alejandro Garnacho dan Joao Pedro.

Malangnya, setiap serangan yang direncanakan kuartet serangan tuan rumah dinafikan bekas penjaga gol Crystal Palace, Sam Johnstone.

Percubaan terbaik Chelsea hadir menerusi Enzo Fernandez pada minit ke-43. Malangnya, percubaan beliau terkena pemain Wolves sebelum melepasi palang gol.

Barisan pertahanan pelawat memastikan keputusan 0-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, The Blues terus meningkatkan tekanan ke atas benteng pertahanan pelawat.

Gol yang dicari akhirnya hadir pada minit ke-51 menerusi Malo Gusto. Ini juga gol pertama beliau bersama Chelsea sejak menyertai kelab itu pada 2023.

Wolves makin derita apabila Joao Pedro meledakkan gol kedua pada minit ke-65. Gol tersebut membuatkan Chelsea makin selesa berada di hadapan.

Neto melengkapkan malam gemilang The Blues dengan menyumbat gol ketiga ke atas pasukan lamanya itu pada minit ke-73.

Wolves berusaha mengurangkan defisit gol tetapi keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan. Keputusan ini menyaksikan Chelsea di tangga kedua liga dengan 20 mata.

Wolves pula kekal di tangga tercorot liga dengan dua mata. Ini kemenangan kedua The Blues ke atas pelawat selepas mengalahkan lawan sama dalam Carabao Cup.

Sofascore memilih Garnacho sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.7. Bekas bintang Manchester United itu mengatasi Neto dengan kelebihan 1.4 mata.

Selepas ini, Chelsea akan menentang Burnley pada 22 November. Wolves pula akan menentang Crystal Palace pada hari yang sama.