Kemenangan Manchester United ke atas Chelsea dalam aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) dicemari insiden dua kad merah.
Perlawanan yang ditunggu-tunggu ini menyaksikan kejayaan memihak Manchester United dengan keputusan 2-1 selepas berjaya memanfaatkan kekurangan pemain Chelsea ketika di awal permainan.
Benjamin Sesko dan Bryan Mbeumo menjadi sandaran buat Manchester United untuk memburu jaringan tatkala Chelsea pula diketuai oleh pemain England, Reece James di benteng pertahanan.
Malang menimpa Chelsea apabila terpaksa beraksi dengan 10 orang pemain seawal minit ke-5 setelah Robert Sanchez dilayangkan kad merah akibat terjahan lewat ke atas Bryan Mbeumo.
Kad merah ke atas penjaga gol Chelsea itu memaksa Enzo Maresca melakukan dua pertukaran dengan memasukkan Filip Jorgenson di pintu gawang dan juga pertahanan, Tosin Adarabioyo.
10 minit berselang, Bruno Fernandes meletakkan Manchester United di depan hasil sentuhan menarik yang terus menerjah gawang Chelsea untuk memberikan kelebihan awal buat tuan rumah.
Gawang Chelsea dibolosi lagi pada minit ke-35 ketika mana situasi kelam-kabut di dalam kotak penalti disudahkan oleh Casemiro dengan satu tandukan bebas tanpa dijaga pemain lawan.
Nasib sama diterima oleh Manchester United apabila dipaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Casemiro dilayangkan kad kuning yang kedua ketika aksi babak pertama hanya berbaki masa tambahan.
Usaha Chelsea untuk menjaringkan gol pertama berhasil jua pada minit ke-80 menerusi tandukan Trevoh Chalobah yang berjaya merapatkan kedudukan dan menghidupkan peluang buat pelawat.
Walau bagaimanapun, aksi di Old Trafford berakhir dengan keputusan 2-1 memihak Manchester United.