EPL: Gol Lewat Brentford Hampakan Chelsea
MakanBola
Brentford FC

Chelsea terlepas peluang berada di puncak liga apabila diikat Brentford 2-2 di Stadium Komuniti Gtech.

The Blues mahu meneruskan rentak kemenangan selepas menewaskan Fulham 2-0. The Bees pula mahu bangkit selepas tunduk kepada pendatang baru Liga Perdana Inggeris (EPL), Sunderland.

Pengendali Brentford, Keith Andrews memilih Igor Thiago dan Kevin Schade di bahagian serangan. Cole Palmer kembali cergas untuk berada di bangku simpanan Chelsea.

Separuh masa pertama menyaksikan tuan rumah berusaha mencari gol awal menerusi gandingan Thiago dan Schade.

Hal ini turut dibantu dengan persembahan lesu The Blues pada separuh masa pertama di Stadium Komuniti Gtech. Hal ini menyebabkan mereka dihukum pada minit ke-35.

Schade mudah menyempurnakan hantaran bekas kapten Liverpool, Jordan Henderson yang menewaskan penjaga gol Chelsea, Robert Sanchez.

Tersentak, pelawat cuba bangkit memburu gol penyamaan. Pemain baharu The Blues, Jamie Gittens hampir melakukannya pada minit ke-43 tetapi dinafikan Caoimhin Kelleher.

Chelsea terus berusaha mencari jaringan penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat separuh masa.

Bersambung pada babak kedua, pengendali The Blues, Enzo Maresca membuat beberapa pertukaran pemain. Ini termasuk memasukkan Palmer sebagai pengganti Gittens.

Kemasukan graduan akademi Manchester City itu pantas membuahkan hasil. Palmer mudah menolak hantaran Joao Pedro melepasi Kelleher pada minit ke-61.

Chelsea kemudiannya berada di hadapan menerusi jeneral tengah Ecuador, Moises Caicedo. Bekas pemain tengah Brighton itu melepaskan rembatan deras yang gagal diselamatkan Kelleher.

Tatkala The Blues bersiap sedia membawa pulang tiga mata penuh, Fabio Carvalho menceriakan penyokong The Bees pada minit ke-93. Bekas pemain Liverpool itu menolak bola melepasi Sanchez.

Gol lewat Carvalho memastikan Chelsea kembali ke Stamford Bridge dengan satu mata. Ini menyaksikan The Blues terlepas peluang memintas Arsenal sebagai pendahulu liga apabila kini berada di tempat kelima.

Kecemerlangan Kelleher menafikan serangan pelawat diiktiraf Sofascore. Beliau mendapat markah 8,3, 0.2 mata di hadapan Caicedo.

Selepas ini, Brentford akan menentang Aston Villa untuk aksi pusingan ketiga Piala EFL pada 17 September. Chelsea pula akan menentang Bayern Munich untuk aksi pertama Liga Juara-Juara UEFA (UCL) pada 18 September.