EPL: Gol Minit Akhir Pacu Liverpool Tundukkan Newcastle United
MakanBola
Liverpool FC

Liverpool dipaksa bekerja keras sebelum meraih kemenangan 3-2 ke atas Newcastle United dalam aksi terbaru Liga Perdana Inggeris (EPL) di St. James Park.

Aksi ini dilabel hangat susulan usaha The Reds cuba mendapatkan ayam tambatan The Magpies, Alexander Isak. Justeru, ramai penyokong Newcastle berharap pasukan mereka dapat mengatasi cabaran pelawat.

Alisson terus menjadi penjaga gol utama Liverpool. Ketiadaan Isak memaksa pengurus Newcastle, Eddie Howe menurunkan Harvey Barnes, Anthony Gordon dan Anthony Elanga sebagai sandaran gol.

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan berusaha mencari gol awal. Elanga hampir meletakkan Newcastle di hadapan pada minit ke-13.

Selepas berjaya mengelirukan pertahanan pelawat, bekas pemain sayap Manchester United itu segera membuat percubaan ke arah gawang Liverpool. Alisson bertindak pantas menepis percubaan Elanga.

The Reds juga hampir meraih gol pendahuluan menerusi Florian Wirtz. Sepakan lencong Wirtz pantas dinafikan penjaga gol England, Nick Pope.

Gol yang dicari Liverpool hadir pada minit ke-35 menerusi Ryan Gravenberch. Pemain tengah Belanda itu membuat percubaan pantas sejauh tujuh meter yang menewaskan Pope.

Newcastle terus bernasib malang apabila Gordon dibuang padang oleh pengadil, Simon Hopper. Pada awalnya, bekas bintang Everton itu hanya diberi amaran selepas membuat terjahan ke atas Virgil van Dijk.

Selepas diminta membuat semakan di monitor oleh pegawai VAR, John Brooks, Hopper mengubah keputusannya dan melayangkan kad merah kepada Gordon.

Situasi ini memaksa Newcastle menamatkan babak pertama dengan 10 pemain. Keputusan 3-2 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Liverpool terus mengasak kubu The Magpies untuk mendapatkan gol kedua.

Seminit selepas babak kedua bermula, Hugo Ekitike menambah gol kedua pelawat. Penyerang Perancis itu pantas menolak bola hantaran Cody Gakpo melepasi Pope.

Bruno Guimaraes memberi harapan kepada tuan rumah dengan menanduk bola melepasi Alisson pada minit ke-57.

Penyerang gantian, William Osula menceriakan St. James Park dengan meledakkan gol penyamaan pada minit ke-86.

Tatkala ramai penyokong menyangka kedua-dua pasukan terikat 2-2 sehingga akhir perlawanan, Rio Ngumoha menyumbat gol kemenangan buat Liverpool pada minit ke-100.

Gol tersebut bukan saja memastikan Liverpool terus menghambat dua pasukan teratas liga, Tottenham Hotspur dan Arsenal. Malah, Ngumoha mencipta rekod sebagai penjaring gol termuda dalam sejarah pasukan itu.

Sofascore turut memilih beliau sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 7.6. Beliau mengatasi Osula, Gravenberch dan Guimaraes yang meraih 7.4 mata.

Selepas ini, The Reds akan menentang The Gunners pada 31 Ogos. The Magpies pula akan menentang Leeds United di Elland Road pada tengah malam hari yang sama.