EPL: Liverpool Buat Arsenal Pulang Hampa
MakanBola
Premier League

Liverpool meneruskan rentak cemerlang dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) 2025-2026 dengan menumbangkan Arsenal pada tengah malam Isnin.

Aksi tumpuan EPL minggu ini menyaksikan 3 mata berharga memihak Liverpool yang terus kekal rekod bersih manakala Arsenal pula terpaksa akur mengalami kekalahan pertama di musim ini.

Pengurus Liverpool, Arne Slot menaruh harapan buat Hugo Ekitike serta Mohamed Salah bagi menggempur kubu lawan tatkala Noni Madueke menggantikan tempat Bukayo Saka di posisi sayap kanan Arsenal.

Permulaan yang hambar buat Arsenal ditambah pula apabila tonggak pertahanan, William Saliba terpaksa diusung keluar seawal minit ke-5 gara-gara kecederaan dan digantikan oleh Cristhian Mosquera.

Usaha berterusan cuba dilancarkan oleh kedua-dua pasukan dengan Liverpool dilihat lebih tenang mendominasi bahagian tengah serta menggerakkan serangan dari sebelah sayap kiri dan kanan.

Kebuntuan jaringan akhirnya terlerai pada minit ke-83 ketika sepakan percuma menarik oleh Dominik Szoboszlai berhasil menewaskan David Raya di gawang Arsenal dan memberi gol buat Liverpool.

Aksi di Stadium Anfield berakhir dengan keputusan 1-0 memihak Liverpool.