EPL: Liverpool Kembali Bernyawa, Tundukkan Aston Villa
MakanBola
Liverpool FC

Liverpool menamatkan kemarau kemenangan Liga Perdana Inggeris (EPL) dalam empat perlawanan dengan menewaskan Aston Villa 2-0 di Anfield.

Liverpool menghadapi aksi ini di bawah tekanan. Selain tewas enam daripada tujuh aksi sebelumnya, The Reds juga tersingkir daripada Carabao Cup di tangan Crystal Palace.

Penyerang Mesir, Mohamed Salah menjadi sandaran gol Liverpool di bahagian sayap. Ollie Watkins menerajui jentera serangan The Villains.

Villa hampir membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi Morgan Rogers. Pemain tengah England itu hampa apabila percubaannya sekadar mengenai tiang.

18 minit kemudian, giliran Dominik Szoboszlai pula mencemaskan gawang Villa. Penjaga gol Argentina, Emiliano Martinez pantas menyekat percubaan pemain tengah Hungary itu.

Liverpool menyangka mereka mendahului pada minit ke-44 menerusi Hugo Ekitike. Malangnya, gol tersebut dibatalkan kerana penyerang Perancis itu berada pada kedudukan ofsaid.

Gol yang dicari tuan rumah akhirnya muncul seminit selepas itu menerusi Salah. Gol ke-250 beliau bersama Liverpool memastikan pasukan itu mendahului 1-0 sehingga rehat.

Bersambung selepas rehat, The Reds terus memberi tekanan ke atas benteng pelawat untuk memburu gol kedua.

Pemain tengah Belanda, Ryan Gravenberch menceriakan kem tuan rumah dengan gol pada minit ke-58.

Pengendali Villa, Unai Emery membuat beberapa pertukaran dengan harapan dapat mengubah momentum perlawanan. Walau bagaimanapun, keputusan 2-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Liverpool di tangga ketiga liga dengan 18 mata. The Villains pula di tangga ke-11 dengan 15 mata.

Sofascore memilih Gravenberch sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 8.5. Beliau mengatasi Salah dengan kelebihan 0.3 mata.

Liverpool akan turun menentang Real Madrid pada 5 November untuk aksi Liga Juara-Juara UEFA (UCL). Villa pula akan melayan kunjungan Maccabi Tel Aviv untuk saingan Liga Europa UEFA (UEL) pada 7 November.