EPL: Manchester United Makin Kebal, Tewaskan Leicester City
MakanBola
Manchester United

Manchester United meneruskan rekod tanpa kalah kepada empat perlawanan apabila menewaskan Leicester City dalam aksi terbaru Liga Perdana Inggeris (EPL).

United mahu meneruskan rentak tanpa kalah selepas mara ke peringkat suku akhir Liga Europa UEFA (UEL). Leicester pula terdesak menamatkan kemarau kemenangan dalam enam perlawanan.

Christian Eriksen dibawa masuk menggantikan Joshua Zirkzee. Legenda The Foxes, Jamie Vardy diberi kepercayaan mengetuai barisan serangan pasukan itu.

Separuh masa pertama di Stadium King Power menyaksikan The Red Devils berusaha mencari jaringan pendahuluan menerusi Eriksen, Rasmus Hojlund dan Alejandro Garnacho.

Leicester hampir mendahului seawal minit keempat menerusi Vardy. Malangnya, percubaan bekas penyerang England itu dinafikan Andre Onana.

Kapten United, Bruno Fernandes hampir membuka tirai jaringan pada minit ke-24. Pemain perancang Portugal itu hampa apabila percubaannya terkena palang.

Gol yang dicari pelawat akhirnya hadir lima minit selepas itu. Hojlund menyudahkan hantaran Fernandes untuk menewaskan penjaga gol Leicester, Mads Hermansen.

Tersentak, The Foxes berusaha mencari jaringan penyamaan tetapi keputusan 1-0 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, United terpaksa mengeluarkan bek tengah muda, Ayden Heaven pada minit ke-51.

Bek tengah berusia 18 tahun itu terpaksa diusung keluar selepas berlanggar dengan penyerang Zambia, Patson Daka.

Situasi ini mendorong pengendali United, Ruben Amorim memasukkan Toby Collyer sebagai pengganti Heaven.

The Red Devils menyangka mereka telah mendapat gol kedua menerusi Garnacho pada minit ke-58. Malangnya, gol tersebut dibatalkan kerana kesalahan ofsaid.

Garnacho akhirnya meraih gol keempatnya dalam liga dengan menolak hantaran Fernandes 10 minit selepas itu.

Amorim kemudiannya memasukkan Zirkzee dan Casemiro menggantikan Eriksen dan Manuel Ugarte. Beliau turut memberi peluang buat Harry Amass membuat penampilan pertama bersama United.

Fernandes melengkapkan malam cemerlang United dengan meledakkan gol ketiga pada minit ke-90. Keputusan 3-0 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan The Red Devils melonjak ke tangga ke-13 dengan 37 mata. The Foxes pula kekal di tangga ke-19 dengan 17 mata.

Sofascore memilih Fernandes sebagai pemain terbaik perlawanan dengan markah 9.7. Beliau mengatasi Heaven dan Onana yang masing-masing meraih 7.7 dan 7.5 mata.

Selepas ini, United akan berdepan Nottingham Forest di City Ground pada 2 April. Leicester bakal berdepan satu lagi aksi sukar apabila menentang Manchester City pada 3 April.