Nama Erick Thohir sering menjadi perhatian ramai di Indonesia. Dari Inter Milan, ke Kementerian Badan Usaha Milik Negara (BUMN), ke PSSI, dan kini sebagai Menteri Belia & Sukan (Menpora), beliau memegang banyak jawatan besar dalam masa yang singkat. Jejak langkahnya kelihatan mengagumkan, tetapi persoalan utama ialah sejauh mana beliau mampu menanggung semua tanggungjawab ini tanpa mengulangi kesilapan lama.
Ketika di Inter Milan, beliau berjaya menaikkan nilai kelab dan menarik pelabur baharu. Namun dari sudut bola sepak, kelab itu terus kemarau kejuaraan. Sesetengah penyokong merasakan beliau lebih berjaya di bilik mesyuarat berbanding di padang. Akhirnya, beliau menjual pegangan dengan keuntungan, tetapi tanpa meninggalkan warisan bola sepak yang benar-benar kukuh untuk kelab tersebut.
Perjalanan di BUMN juga menimbulkan persoalan. Harapan rakyat adalah untuk melihat syarikat milik negara lebih berdaya saing. Realitinya, beberapa syarikat masih bergelut dengan cabaran kewangan dan isu tadbir urus yang memerlukan perhatian berterusan. Populariti awal Erick mula goyah apabila janji reformasi sukar ditunaikan sepenuhnya.
Sebagai Presiden PSSI, beliau sempat memberi nafas baharu kepada bola sepak Indonesia dengan beberapa inisiatif. Namun semuanya terjejas selepas keputusan besar menamatkan kontrak Shin Tae-yong pada Januari lalu. Keputusan itu mengundang perdebatan hangat di kalangan penyokong, ada yang melihatnya sebagai langkah berisiko dan terlalu tergesa-gesa.
Pelantikan Patrick Kluivert sebagai pengendali baharu juga mendapat perhatian besar. Namanya cukup besar sebagai bekas bintang Barcelona, tetapi pengalaman kejurulatihannya masih dipersoalkan. Media tempatan melaporkan wujud keraguan sama ada pelantikan ini dibuat atas dasar merit semata-mata atau sekadar tarikan nama besar untuk meredakan keresahan penyokong.
Kini, skuad kebangsaan Indonesia berdepan ujian getir menjelang Pusingan Ke-4 Kelayakan Piala Dunia 2026. Dalam aksi persahabatan menentang Lubnan baru-baru ini, perlawanan berakhir 0-0 dan statistik menunjukkan pasukan gagal menghasilkan ancaman tepat ke gawang. Situasi ini menambah kebimbangan penyokong terhadap persediaan skuad Garuda.
Dalam waktu bersamaan, Indonesia turut tersingkir awal di pusingan kelayakan Piala Asia B-23. Dua kegagalan dalam tempoh singkat ini membuatkan sentimen penyokong terhadap kepimpinan Erick Thohir semakin bercampur-baur. Ketika suasana politik negara hangat dengan protes besar-besaran di Jakarta, lebih ramai anak muda Indonesia, khususnya peminat bola sepak, juga mula berani bersuara lantang mengenai rasa tidak puas hati mereka terhadap hala tuju pasukan kebangsaan.
Cabaran lebih besar menanti dengan pelantikan beliau sebagai Menteri Belia dan Sukan Indonesia. Jawatan ini menuntut fokus kepada semua bidang sukan, sedangkan beliau masih memimpin PSSI. Pertembungan kepentingan tidak dapat dielakkan. Tekanan semakin kuat supaya beliau membuat pilihan jelas sama ada kekal fokus kepada politik atau benar-benar memberi sepenuh perhatian kepada bola sepak.
Bayangan kesilapan lama terus menghantui. Dari Milan hingga Jakarta, masalah utama bukan sedikit amanah, tetapi terlalu banyak. Selagi Erick enggan memilih keutamaan, selagi itu persoalan tentang kepimpinannya akan terus menjadi perdebatan.