Skuad Flamengo Bawah 20 Tahun (B-20) memastikan Erik ten Hag memulakan kempen sebagai pengurus Bayer Leverkusen dengan langkah kiri.
Ini selepas pasukan Brazil itu menewaskan Die Werkself 5-1 dalam aksi persahabatan yang diadakan di Rio de Janeiro.
Leverkusen menjadi pasukan Bundesliga pertama yang memilih mengadakan jelajah pra-musim di Amerika Selatan.
Ini juga kempen pra-musim pertama ten Hag selepas dibawa masuk sebagai pengganti jurulatih sebelumnya, Xabi Alonso.
Bekas pengurus Manchester United itu menggunakan formasi 3-4-2-1 untuk menghadapi cabaran ubi muda Flamengo.
Ramai pemain baru turut diberi peluang beraksi dalam kesebelasan utama. Antaranya ialah bekas penjaga gol Brentford, Mark Flekken dan bekas bintang muda Paris Saint-Germain (PSG), Axel Tape.
Lorran meletakkan Flamengo B-20 di hadapan seawal minit kedua. Die Werkself terus bernasib malang apabila Arthur tertolak bola ke gawang sendiri.
Matheus Goncalves dan Pedro Leao memastikan Flamengo B-20 mendahului Leverkusen 4-0 sehingga rehat.
Bersambung pada babak kedua, giliran Gusttavo pula merobek gawang bekas juara Bundesliga 2023/24 itu. Setelah itu, barulah ten Hag membuat 10 pertukaran pemain.
Antara pemain yang dimasukkan ialah bekas kapten Arsenal, Granit Xhaka, Nathan Tella dan Alex Grimaldo. Gol saguhati Leverkusen dijaringkan oleh pemain Jerman B-18, Montrell Culbreath.
Die Werkself perlu tampil lebih baik dalam aksi persahabatan kedua menentang VfL Bochum pada 28 Julai ini.