Erik ten Hag Berpotensi Dipecat Selepas Dua Aksi Bundesliga
MakanBola
Bayer 04 Leverkusen

Bekas pengurus Manchester United, Erik ten Hag berpotensi dipecat pasukan barunya, Bayer Leverkusen.

Meskipun baru saja mengharungi dua aksi Bundesliga bersama Die Werkself, prestasi kurang memberangsangkan pasukan itu mencetuskan rasa tidak puas hati penyokong.

Selepas tewas 2-1 kepada Hoffenheim, Leverkusen diikat 3-3 dengan Werder Bremen meskipun lawan beraksi dengan 10 pemain.

Situasi ini menyebabkan Leverkusen kini berada di kelompok tercorot liga dengan satu mata. Daily Mail melaporkan situasi ini dilihat boleh menyebabkan ten Hag dipecat.

Malah, pengurusan kelab masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan yang menyatakan sokongan kepada pengurus Belanda itu.

Seandainya ten Hag dipecat, beliau menjadi bekas pengurus Manchester United ketiga yang mengalami nasib sebegitu.

Sebelum ini, Jose Mourinho dan Ole Gunnar Solskjaer masing-masing dipecat Fenerbahce dan Besiktas. Ini selepas kedua-dua kelab gagal layak ke saingan Liga Juara-Juara UEFA (UCL).

Ten Hag dibawa masuk sebagai pengganti legenda Sepanyol, Xabi Alonso pada Mei lalu. Ini selepas Alonso bersetuju menyertai Real Madrid sebagai pengganti Carlo Ancelotti.

Beliau berdepan permulaan buruk apabila pasukannya dibelasah skuad muda Flamengo dalam aksi pramusim di Brazil pada Julai lalu.