Penyerang berbisa Manchester City, Erling Haaland mencuri tumpuan apabila memiliki rekod sama dengan Raja Bola Malaysia, Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat di peringkat antarabangsa.
Ini selepas Haaland menyumbat dua gol untuk Norway ketika menentang Itali di San Siro awal pagi ini.
Aksi ini memberi peluang kepada Norway menamatkan kempen kelayakan Piala Dunia 2026 dengan rekod kemenangan 100%.
Rekod tersebut hampir tercalar apabila Itali mendahului menerusi penyerang muda Inter Milan, Francesco Pio Esposito pada babak pertama.
Norway bangkit pada babak kedua menerusi gol Antonio Nusa, Haaland dan penyerang Wolves, Jorgen Strand Larsen. Kemenangan 4-1 ini menyaksikan Norway menutup kempen Kumpulan I dengan 24 mata.
Apa yang menarik ialah Haaland menyumbat gol di peringkat antarabangsa buat kali ke-11 berturut-turut.
Rekod tersebut menyamai rekod sama yang dilakar Ghani semasa mewakili Harimau Malaya dari 1961 hingga 1962. Anekdot ini dikongsikan wartawan Morning Star, Asif Burhan.
“Erling Haaland telah menjaringkan gol dalam perlawanan antarabangsa ke-11 berturut-turut. Beliau sekaligus menyamakan rekod 63 tahun bola sepak lelaki yang dicipta Abdul Ghani Minhat dari Malaysia antara 1961 hingga 1962,” katanya di X.
Haaland berpeluang memecahkan rekod Ghani seandainya Norway mengadakan aksi persahabatan antarabangsa pada Mac 2026.
Nama Ghani cukup digeruni pihak lawan semasa beliau aktif sebagai pemain sekitar tahun 50-an dan 60-an. Selepas bersara pada 1969, beliau kemudiannya melatih Harimau Malaya dan Selangor.
Bisa Ghani sebagai penyerang turut menarik perhatian kelab-kelab Eropah seperti Eintracht Frankfurt, Tottenham Hotspur dan West Ham United.