Hasrat penyerang Korea Selatan, Hwang Ui-jo menyarung jersi Pahlawan Taeguk untuk kempen Piala Dunia 2026 punah sama sekali.
Portal MK melaporkan Persatuan Bola Sepak Korea Selatan (KFA) mengumumkan hukuman penggantungan ke atas penyerang berusia 33 tahun itu selama 20 tahun.
Hukuman tersebut dijatuhkan selepas Ui-jo disabitkan bersalah oleh mahkamah Korea Selatan atas dakwaan membuat rakaman video lucah tanpa kebenaran.
Penyerang Alanyaspor itu dikenakan hukuman penjara selama setahun dan diletakkan di bawah pemantauan selama dua tahun.
Hukuman penggantungan yang dijatuhkan KFA dibuat bukan saja berdasarkan buku peraturan badan induk itu. Malah, KFA turut merujuk kepada peraturan Jawatankuasa Olimpik & Sukan Korea Selatan.
Hukuman ini menyaksikan Ui-jo bukan saja tidak lagi berpeluang menyarung jersi Korea Selatan di peringkat antarabangsa.
Malah, beliau juga tidak dibenarkan mendaftarkan diri sebagai pemain atau jurulatih di Korea Selatan sepanjang tempoh penggantungan. Walau bagaimanapun, hukuman ini tidak terpakai untuk kelab Ui-jo di luar negara.
Ui-jo mula dikenali selepas meledakkan gol bersama kelab Korea, Seongnam FC. Sejak itu, beliau berkelana ke luar negara hingga ke benua Eropah.
Antara bekas kelab Ui-jo ialah Nottingham Forest, Norwich City, Gamba Osaka, Bordeaux, Olympiacos, Seongnam dan FC Seoul.
Beliau turut merekodkan 62 penampilan dan 19 gol bersama Korea Selatan. Antara pencapaian terbaik Ui-jo ialah pingat emas Sukan Asia 2018.