Fabio Cannavaro Bakal Terima Gaji 8 Angka Bersama Uzbekistan
MakanBola
Uzbekistan FA

Legenda Itali, Fabio Cannavaro berpotensi menerima gaji lumayan apabila menggalas peranan sebagai jurulatih Uzbekistan.

Uz Daily melaporkan jurulatih berusia 52 tahun itu semakin hampir menggalas peranan sebagai jurulatih pasukan Asia Tengah itu.

Cannavaro telah tiba di ibu negara Uzbekistan, Tashkent untuk memuktamadkan rundingan dengan Persatuan Bola Sepak Uzbekistan (UFA).

Sekiranya semuanya berjalan lancar, bekas kapten Azzurri itu dan staf kejurulatihannya bakal menerima gaji tahunan berjumlah €4 juta (RM19.6 juta).

Cannavaro bukan asing dengan bola sepak Asia kerana pernah membimbing Guangzhou Evergrande, Tianjian Quanjian, skuad kebangsaan China, Al-Ahli dan Al-Nassr.

Sebelum memilih kembali berkelana ke Asia, bekas pemain pertahanan Juventus itu pernah melatih Udinese dan kelab Croatia, Dinamo Zagreb.

Cannavaro dijangka mengambil alih tugas sebagai jurulatih Uzbekistan pada bulan hadapan. Ketika ini, Timur Kapedze menggalas tugas sebagai pemangku jurulatih untuk dua aksi antarabangsa pasukan itu.

Selepas menentang Kuwait pada 9 Oktober, mereka akan menentang Uruguay di Malaysia pada 13 Oktober.

Sekiranya Cannavaro sah menerima tawaran Uzbekistan, ini menamatkan khabar angin beliau antara jurulatih yang diintai Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS).