Pertahanan kental Harimau Malaya, Facundo Garces membawa khabar gembira dari bumi Sepanyol.
Tonggak berusia 25 tahun itu tampil melakukan debut bersama pasukan kebangsaan ketika aksi menentang Vietnam pada aksi kedua Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027.
Kehadiran pemain warisan Argentina-Malaysia ini membantu skuad negara untuk melakar kemenangan 4-0 untuk melonjak ke tangga teratas kumpulan dengan 6 mata.
Perkembangan Garces dalam 7 aksi terakhir di LaLiga bersama Alaves cukup memberangsangkan selain beraksi cukup cemerlang selaku pertahanan utama skuad kendalian Eduardo Coudet.
Aksi terbaik pemain tinggi lampai ini adalah ketika menentang Real Sociedad pada 24 April lalu apabila memastikan gawang pasukan tidak dibolosi dan menerima penilaian setinggi 7.4 mata oleh laman Sofascore.
Beliau juga tampil dengan satu aksi menakjubkan sepanjang 90 minit permainan yang mengunci jentera serangan Atletico Madrid yang dikemudi oleh Julian Alvarez dan juga Antoine Griezmann.
Garces telah beraksi dalam 10 penampilan musim 2024-25 dan mengumpul 676 minit permainan selain mencatatkan statistik luar biasa bersama Alaves.
Kudrat beliau menjadi aset berharga tatkala gandingan bersama Matthew Davies dan juga Jon Irazabal membantu Malaysia kendalian Peter Cklamovski belum tewas pada tahun 2025.
Ujian berikutnya buat Harimau Malaya adalah aksi CAFA Nations Cup setelah diundi berdepan Iran, Afghanistan dan juga Tajikistan yang berlangsung bermula 29 Ogos ini.