Facundo Garces Jadi Sasaran Kelab EPL
MakanBola
Deportivo Alaves

Orang besi Harimau Malaya, Facundo Garces berpotensi mewarnai saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) pada masa akan datang.

Ini selepas Cadena SER melaporkan bek tengah berusia 25 tahun itu berada dalam radar sebuah kelab EPL yang tidak didedahkan. Perkara sama turut dilaporkan akaun Harimau Abroad.

Malah, kelab itu bersedia membelanjakan €10 juta (RM49 juta) untuk mendapatkan khidmat Garces pada hari terakhir tetingkap perpindahan musim panas 2025.

Walau bagaimanapun, tawaran tersebut ditolak pengurus Alaves, Eduardo Coudet atas alasan pemain kelahiran Santa Fe itu merupakan tonggak penting kelab itu.

Selain itu, tempoh masa yang suntuk untuk mencari pengganti turut mendorong kelab LaLiga itu menolak hajat kelab tersebut.

Tidak diketahui identiti kelab EPL yang berminat mendapatkan khidmat Garces pada hari terakhir perpindahan.

Seandainya minat itu berkekalan hingga ke tetingkap perpindahan seterusnya, tidak mustahil bekas bek tengah Colon itu berpotensi menjadi pemain Malaysia pertama beraksi di EPL.

Garces kini menyertai kem Harimau Malaya sebagai persiapan menghadapi cabaran Singapura dan Palestin. Malaysia akan menentang Singapura pada 4 September ini di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

Selepas itu, Malaysia akan melayan kunjungan Palestin di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) pada 8 September.